Khalid hutang RM66 juta -
Mahkamah Tinggi arah Menteri Besar Selangor bayar Bank Islam
KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diarah oleh Mahkamah Tinggi di sini membayar RM66.67 juta kepada Bank Islam Malaysia bagi pinjaman beliau untuk membeli saham Guthrie pada tahun 2001 ketika beliau menjadi ketua pegawai eksekutif syarikat itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rohana Yusuf yang membuat keputusan itu dalam kamar bagaimanapun membenarkan permohonan Khalid untuk menangguhkan pembayaran sementara menunggu permohonan rasmi pada 16 September.
Peguam Khalid, Malik Imtiaz Sarwar memberitahu pemberita bahawa Rohana membenarkan permohonan Bank Islam untuk satu penghakiman terus dengan alasan kes itu tidak perlu dibawa ke satu perbicaraan penuh.
Penghakiman terus merupakan satu keputusan akhir oleh seseorang hakim yang menyelesaikan satu tuntutan mahkamah untuk memihak kepada salah satu pihak berkenaan.
Satu usul untuk penghakiman terus dibuat setelah penemuan siap tetapi sebelum kes itu dibawa ke perbicaraan penuh.
Malik Imtiaz berkata, rayuan akan dibuat dengan Mahkamah Rayuan terhadap keputusan semalam kerana beliau berpendapat perkara itu hendaklah dibawa ke perbicaraan penuh.
No comments:
Post a Comment