Saturday, September 26, 2009

Desak Ibrahim letak jawatan




KOTA BHARU 26 Sept. – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi gesaan agar Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali melepaskan jawatan ekoran tindak-tanduknya yang semakin bertentangan dengan parti itu.

Nik Abdul Aziz berkata, langkah itu perlu jika mahu amal solehnya diterima Tuhan kerana rezeki yang diperoleh melalui hasil jawatan tersebut adalah ‘tidak betul.’

Katanya, rakyat Pasir Mas tidak lagi merestui Ibrahim sebagai wakil rakyat mereka yang diberi kemenangan selepas bertanding sebagai calon bebas atas tiket Pas dalam pilihan raya umum lalu.

Sehubungan itu katanya, langkah terbaik yang perlu dilakukan oleh Ibrahim adalah dengan melepaskan jawatan itu dan memberi laluan pilihan raya kecil di kawasan itu.

“Kalau orang Pasir Mas kata dia kena berundur, berundurlah. Duit yang dia makan tu tak betul, dia sembahyang Tuhan tak terima, dia buat apa pun Tuhan tidak terima.

“Baik dia letak jawatan lagi senang. Perut kenyang pun tapi kalau masyarakat perlekeh buat apa? Dulu orang Pas yang undi dia, orang UMNO ada sedikit sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Kenyataan terbaru Nik Abdul Aziz ini adalah susulan desakan pemimpin Pas Kelantan sebelum ini yang mahukan Ibrahim melepaskan jawatan kerana beliau dilihat sudah berpaling tadah.


http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment