Tuesday, January 5, 2010

Tindakan majalah Herald ada unsur provokasi: Dr Mashitah

sumber : http://www.bharian.com.my

MELAKA: Tindakan majalah mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mereka adalah berunsur provokasi terhadap umat Islam di negara ini, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Beliau berkata, pihak terbabit menyedari Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang dikuatkuasakan di negara ini jelas menunjukkan penerbitan bukan agama Islam tidak dibenarkan menggunakan kalimah berkenaan.

Katanya, dalam enakmen berkenaan ia sememangnya menyebut perkataan yang tidak boleh digunakan oleh bukan Islam di dalam terjemahan kitab mereka bukan saja membabitkan perkataan Allah, malah Kaabah, Baitullah dan solat.

"Jadi, saya lihat isu majalah mingguan Herald-The Catholic Weekly yang menggunakan kalimah Allah ini dalam penerbitan mereka adalah berunsurkan provokasi terhadap umat Islam di negara ini kerana kita tahu di bawah enakmen berkenaan, semua bersetuju bahawa tidak boleh digunakan perkataan ini.

"Dan sebenarnya juga, kita lihat ketidakikhlasan di kalangan golongan ini memang ada. Jika mereka mahu menggunakannya betul-betul, mungkin tidak perlu digunakan dalam bahasa Melayu juga, tetapi dalam bahasa-bahasa yang lain.

"Sudikah mereka ini menggunakan dalam bahasa Inggeris juga ditukar 'The No God Except Allah' macam itu, tetapi mereka hanya hendak menggunakan dalam bahasa Melayu saja," katanya selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa induk Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-31 di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir, Seri Negeri, Ayer Keroh dekat sini, semalam.
Mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysai (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Sebelum ini, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan majalah terbabit menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya, membangkitkan kemarahan masyarakat Islam di negara ini.

Keputusan itu turut dibantah pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu Islam termasuk mengadakan perhimpunan secara aman di seluruh negara, selain meminta campur tangan Majlis Raja-Raja.

Mengulas lanjut, Mashitah Islam berkata, kerajaan akan menangani isu terbabit dengan sebaik mungkin dalam suasana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu melaksanakan gagasan 1Malaysia dengan mengambil kira semua sensitiviti rakyat.
"Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sudah jelas dan itu saja cukup untuk mengambil tindakan tetapi kes ini masih dalam proses mahkamah.

"Jadi, kini kita mempunyai dua cara sama ada menfailkan notis rayuan atau meminta kes ini didengar semula kerana ketika kes pertama diperdengarkan, mungkin ada bahan-bahan bukti lain yang tidak mencukupi," katanya.

No comments:

Post a Comment