Sunday, January 23, 2011


Tulisan Terbaik Mufti Perak



1. Minggu yang lepas telah memaparkan semula perbahasan tentang ancak serta beberapa isu yang berkesinambungan dari perkara-perkara yang sepatutnya sudah selesai dan tidak diperbincangkan lagi di media cetak dan elektronik mahupun laman sesawang. Tidak kurang juga beberapa ulasan dari blogger tentang isu ancak yang masih tidak berkesudahan nampaknya. Tambah menyemarakkan keadaan, terdapat komen-komen yang agak pedas di samping cacian, pendustaan dan kalam-kalam yang terbit dari hati sekiranya dibaca berulang kali boleh membawa kepada kesedihan yang amat mendalam

2. Itulah realiti yang perlu ditempuh oleh semua orang terutamanya para pemimpin, pendakwah atau pun sesiapa sahaja. Itulah juga mentaliti sebahagian dari kita yang banyak menghabiskan masa dan memerah fikiran semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu mereka yang selama-lamanya tidak akan puas.
3. Masih ramai di kalangan umat Melayu-Islam ini tertarik dan terpesona untuk membuat ungkapan, percakapan mahu pun penulisan mereka yang sering mengaitkan itu dan ini tanpa sandaran dan fakta yang benar. Sekiranya diamati, kebanyakan dari kita masih gagal untuk bersikap jujur dalam berkata-kata, berbicara dan menulis sedangkan ia amat dituntut dalam Islam. Sebagaimana diketahui bahawa jujur atau benar ialah memberitahu, atau menuturkan sesuatu dengan sebenarnya. Lawannya ialah dusta, iaitu memberitakan sesuatu berlainan dengan sebenarnya, walaupun dengan tidak disengajakan.
4. Firman Allah SWT di dalam surah al-Qalam ayat 7-11 yang bermaksud, Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. Oleh itu (berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang Engkau amalkan, dan) janganlah engkau menurut kemahuan orang- orang yang mendustakan (agama Allah). Mereka suka kalaulah Engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu).
5. Dan janganlah Engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), yang suka mencaci, lagi Yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai). Al Imam al-Razi ketika menafsirkan ayat tersebut menyatakan bahawa ayat ini mendefinisikan dengan jelas sifat pendusta iaitu orang-orang kafir itu antaranya sifat suka mencela dan menjaja fitnah. Yang dimaksudkan dengan “hammaz” ialah suka mencela orang dan suka berbalas celaan.
6. Ia juga bermaksud mereka yang suka menceritakan sesuatu yang tidak disukai oleh orang yang diumpat itu dengan tujuan membuka keaibannya. Sementara itu Imam al-Alusi pula menyatakan bahawa asal pada kata “hammaz” itu ialah memukul atau menikam dengan tangan, kayu atau sebagainya.

No comments:

Post a Comment