Sunday, February 20, 2011


Pas parti oportunis - Dr. M






HULU LANGAT 20 Feb. - Pendirian Pas yang mahu kembali mempertahankan hak orang Melayu 
meskipun selama ini menolak perjuangan berasaskan bangsa membuktikan parti itu adalah parti 
oportunis dan tidak ikhlas dalam perjuangan mereka.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Pas mengubah pendirian bukan
 kerana ikhlas untuk mempertahankan hak Melayu tetapi hanya kerana mahu 
memastikan mereka mampu memenangi kembali undi daripada orang Melayu.

Katanya, adalah tidak mustahil apabila Pas sudah mendapat semula sokongan orang 
Melayu, parti itu akan mengubah kembali pendirian mereka seperti sedia kala dengan 
alasan, perjuangan Islam lebih penting berbanding perjuangan memartabatkan kaum Melayu.

"Ini oportunis... Bila sedar mereka tidak lagi mendapat 
sokongan orang Melayu, dia (Pas) mahu balik kepada 
Melayu. Esok bila dah dapat sokongan orang Melayu, 
mereka balik kepada ideologi lama kononnya, 
perjuangan bangsa bukan perjuangan Islam.

"Sebelum ini tolak Melayu, sekarang Pas mahu terima balik orang Melayu, semua 
kerana apa? Kerana nak dapat undi, kalau tak dapat undi Islam pun dia tak perlu," 
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Saringan Kesihatan dan 
Diabetes di Batu 18, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian terbaru 
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bahawa parti itu perlu 
mengutamakan perjuangan terhadap bangsa Melayu memandangkan statusnya
 sebagai bangsa pribumi di negara ini.





Nik Abdul Aziz ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa 
anjuran parti itu di Shah Alam, semalam, dipetik sebagai berkata: "Bagi Pas, orang Melayu 
perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu."

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan itu beberapa kali menolak perjuangan terhadap 
bangsa Melayu kerana menganggap ia tidak dilakukan oleh Islam selain turut menolak
 perjuangan nasionalis kerana dakwanya, ia bercanggah dengan ajaran Islam.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, Pas dan Nik Abdul Aziz langsung tidak mempunyai 
prinsip kerana sering kali berubah pendirian semata-mata untuk menjamin kelangsungan 
politik mereka selain sanggup memperalatkan agama.

Menurutnya, Pas bukan berjuang kerana Islam tetapi untuk memegang kuasa 
sehingga mereka sanggup mengeluarkan fatwa politik bahawa golongan yang 
menolak Pas adalah masyarakat jahiliah serta menolak Islam.

"Tolak Islam ini apa? Kalau anda tolak Islam anda jadi apa? Maksudnya samalah 
dengan mengkafirkan orang yang sokong UMNO walaupun Nik Abdul Aziz kata mana 
bukti dia mengkafirkan orang UMNO.

"Pas ini kalau boleh mereka nak kita mengucap tiga syahadah, baru Islam kerana 
syahadah yang diucapkan sekarang tidak cukup bagi mereka. Pertama mengakui 
Allah tuhan yang satu, Nabi Muhammad SAW pesuruh Allah dan tambah yang ketiga
 iaitu hanya ahli Pas, Islam dan boleh masuk syurga," katanya menyindir.

Sementara itu, Dr. Mahathir turut menyelar tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), 
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan fahaman pluralisme antara agama.

Sambil mengecam tindakan Ketua Pembangkang itu, beliau mempersoal motif Anwar
 itu bertujuan mahu meletakkan Islam sama kedudukannya dengan agama lain di sisi 
Allah semata-mata kerana kebebasan beragama.

"Kita tidak boleh samakan Islam dengan agama lain meskipun kita iktiraf agama lain. 
Mereka dengan agama mereka dan kita dengan agama kita, tetapi agama yang suci 
di sisi Allah hanya Islam," katanya kepada pemberita.-Utusan Malaysia -

No comments:

Post a Comment