Bekas Setiausaha UMNO Wangsa Maju dituduh rasuah
KUALA LUMPUR 5 Nov. - Bekas Setiausaha UMNO Bahagian Wangsa Maju, Ramli Abdul Manan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah RM1,000 kepada seorang ketua cawangan tahun lalu.Ramli, 50, didakwa memberi suapan tersebut kepada Ketua UMNO Cawangan Taman Melati, Amir Saad, 50, sebagai dorongan supaya mencalonkan dirinya sebagai ahli jawatankuasa untuk layak bertanding dalam pemilihan bahagian itu pada 8 Ogos tahun lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Dewan Pusat Aktiviti Masyarakat Taman Melati Kawasan 8, Setapak di sini pada pukul 9 malam, 5 Ogos tahun lalu.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 10(b)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta tersebut.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM10,000 atau tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau mana-mana jumlah denda yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syafinas Shabudin mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.
Ramli yang tidak diwakili peguam bela, merayu dikenakan jaminan RM2,000 sahaja memandangkan dia kini tidak bekerja.
Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Disember ini bagi tertuduh melantik peguam.
http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment