Thursday, October 21, 2010

 

Jangan takut mengaku Melayu

 


Syed Ibrahim Syed Ahmad dengan penuh perasaan ketika membahas usul ucapan Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 di PWTC, semalam.


KUALA LUMPUR 21 Okt. – Orang Melayu diingatkan supaya tidak sesekali takut untuk mengakui diri mereka sebagai Melayu kerana ia selari dengan tuntutan agama.

Wakil UMNO Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad (gambar) berkata, ini berdasarkan kaedah fikah yang melarang perbuatan menghina keturunan kerana ia dilaknat Allah.

Sambil merujuk segelintir pemimpin parti pembangkang yang mendakwa tidak berbangga menjadi Melayu, beliau berkata, jika mereka bukan Melayu adakah mereka daripada keturunan lain atau sebaliknya.

“Terdapat golongan Melayu terpengaruh dengan alunan yang menyatakan mereka tidak berbangga menjadi kaum itu.

“Kalau tidak mahu mengaku (orang Melayu) kerana politik kenang-kenangkan hadis Rasulullah SAW yang mengharamkan kita mengeluarkan kata-kata tentang menghina keturunan kita,” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Syed Ibrahim juga meminta orang Melayu tidak mendengar dan terpengaruh dengan kisah kononnya segelintir daripada mereka tidak berbangga menjadi kaum itu.

“Rasulullah SAW bersabda kenallah keturunan kamu, kenallah anak bangsa kamu, kenallah saudara-mara kamu dan kaum kerabat,” katanya.

Beliau berkata, saranan yang dibuat oleh Rasulullah selaras dengan gagasan yang dibawa oleh kepimpinan UMNO ketika ini.

Selain itu, beliau berharap tidak ada perasaan benci, berhasad dengki, berebut jawatan dan hina menghina demi untuk mendapat sesuatu dalam parti.

“Kita kena muhasabah diri sebelum kita muhasabah pada orang lain. Tak payah cakap banyak..surat akhbar Utusan Malaysia pun kita susah nak beli,” katanya.

Beliau tidak berniat mahu mempertikaikan tentang perkara itu tetapi mahu semua pemimpin dan ahli parti menilai sendiri apakah sokongan yang telah diberikan kepada UMNO selama ini.
Katanya, sekiranya kesungguhan dan sokongan yang diberikan oleh ahli parti maka UMNO akan menjadi parti disegani dan dihormati oleh rakyat.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm

No comments:

Post a Comment