Thursday, October 21, 2010

Tolak konsep sama rata

http://www.utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Tuntutan oleh pihak tertentu supaya semua kaum diberikan hak kesamarataan sehingga membelakangkan Perlembagaan Persekutuan yang mempertahankan hak istimewa institusi raja dan orang Melayu seharusnya ditolak.

Ini kerana, konsep sama rata tersebut bersifat zalim dan jika diamalkan akan mewujudkan jurang lebih besar dalam masyarakat

Wakil Johor, Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, tuntutan yang tidak mengambil kira keadilan dalam pengagihan itu boleh mewujudkan konflik dalam masyarakat.

Malah, tambah beliau, ia dilihat berbahaya kerana mampu mendorong kemunculan sikap radikal dan ekstrem di kalangan kaum tertentu.

“Tidak seperti di barat, di negara ini, budaya pelbagai kaum tetap berfungsi untuk sama-sama ‘memperkaya pembinaan tamadun kita.

“Pendekatan ini adalah sederhana sifatnya dan kesederhanaan itulah yang menjadi budaya UMNO selama ini.
“Begitulah UMNO dan orang Melayu, sejak Datuk Onn Jaafar lagi, disambut Tunku Abdul Rahman dan dicerna oleh Tun Abdul Razak seterusnya diwarisi sehingga ke hari ini, berpegang teguh kepada prinsip-prinsip agungnya, iaitu keadilan, perkongsian dan kesederhanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencadangkan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di sini hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan orang Melayu khususnya supaya tidak mudah terperangkap dengan ungkapan neutraliti yang sedap didengar dan dianggap sejagat sifatnya seperti hak asasi, keadilan sosial dan liberal.
“Sebab itu, apa juga dasar sama ada bidang pendidikan, kebudayaan, ekonomi termasuk Dasar Ekonomi Baru yang tidak henti-henti dipertikaikan sebenarnya mengandungi strategi pembelaan semua kaum, khususnya dalam menyusun semula masyarakat untuk membawa keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat.
“Malaysia juga adalah satu-satunya negara di dunia yang membenarkan sekolah aliran jenis kebangsaan diwujudkan, pelbagai rumah ibadat dibina di merata tempat, kegiatan kebudayaan dan tradisi tidak pernah disekat malah usaha mengumpul kekayaan digalakkan,” ujarnya. 

Menurutnya, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan hanya konsep perpaduan semata-mata atau sama rata, namun merupakan agenda pemimpin untuk mencapai kemajuan melalui transformasi ke arah sebuah negara maju menjelang 2020.

No comments:

Post a Comment